Penyamun Tobiar


“hoi! hoi! ya hoi!
hoi! hoi! ya hoi!
kita semua gembira.
pulang bawa harta,
wang berjuta…”

Tadi petang aku cuba buat ketupat palas dengan maktok. Ermm…kali yg ke-20, baru ketupat aku menjadi. Niat hati belajar buat ketupat supaya boleh tunjuk pada generasi muda 20 tahun akan datang. Tapi entah aku ingat lagi atau tak masa tuh...yang ini pun tak jadi-jadi lagi.

Sambil buat ketupat tuh, maktok bukalah cerita. Macam-macam cerita ada. Tapi dalam banyak-banyak cerita, cerita penyamun yang best sekali. Dulu masa maktok kecil-kecil kira-kira umur 8-9 tahun, dia dan keluarga tinggal di Tobiar, Kedah. Ayah maktok jadi guru besar di salah sebuah sekolah di sana. Maktok kata Tobiar nih dulu tempat hulu banat, tersangat lah terpencil. Mereka tinggal di Kampung Sekolah, tempat khas untuk cikgu-cikgu di kawasan itu.

Oleh kerana Tobiar nih tempat terpencil dan jauh dari bandar, jadi tok penghulu lah yang berkuasa dalam segala hal. Maktok kata tok penghulu dulu macam raja. Tok Penghulu dulu pakai baju melayu warna hitam dan tanjak corak kain batik jalan-jalan keliling kampung. Undang-undang tak ketat sangat, jadi banyak lah jenayah berlaku macam mencuri, melarikan isteri dan anak dara orang, mengamuk dan menyamun. Polis hanya ada 2 orang, itu pun di pekan Langgar yang jauhnya lebih kurang 15 kilometer dari Tobiar.

Maktok kata lepas zaman British, Jepun dan Siam; orang takut pula dengan penyamun. Penyamun ini digeruni orang kampung sebab mereka bukan saja rampas harta orang tapi membunuh juga. Ingat cerita P.Ramlee 6 jahanam, macam tuh laa…rampas harta lepas tuh bunuh Mas Merah dan apek jurugambar.

Terus aku tanya maktok apa beza penyamun dan pencuri. Maktok kata pencuri mencuri senyap-senyap dan takut pada orang kampung tapi penyamun nih ramai, bawa geng kira-kira 100 orang lebih. Fuiyoo…100 orang??? Terus rolling cerita P.Ramlee Ali Baba Bujang Lapok pula di kepala otak nih.

Sebelum penyamun nih mai menyamun, mereka akan tampal notis pemberitahuan dulu. Dasyat penyamun ni. Dalam notis tuh dia beritahu kawasan mana dan bila mereka akan menyamun. Orang takut penyamun nih sebab lepas rampas semua harta, mereka akan culik orang-orang perempuan dan yang lelaki akan diseksa atau dibunuh. Sebab tuh orang kampung takut. Maktok kata ketua penyamun yang terkenal kat Tobiar masa tu nama dia Tin Pleng (orang Siam), nasib baik bukan Chin Peng.

Bila orang kampung nampak dari jauh api jamung bercahaye di tengah bendang pada waktu malam, tahu lah mereka yang penyamun dah mai. Oh ya, perkataan baru dari maktok…jamung. Jamung tuh macam andang atau obor laa. Lepas tuh orang kampung akan dengar lah teriak tangis, jerit pekik orang-orang yang kena samun nih. Tapi tak ada seorang pun yang berani tolong termasuk tok penghulu yang ada ramai pengawal tuh.

Pada suatu hari, semua cikgu-cikgu kat kampung Sekolah siap sedia untuk pindah. Sebabnya notis penyamun kata nak buat operasi kat situ…hehehe. Ayah maktok mulanya tak mau lari sebab dia kena jaga sekolah, maklum lah cikgu besar. Kalau dia lari, nanti dia kena buang kerja. Tapi bila fikirkan yang dia ada anak perempuan 2 orang dan sayangkan nyawa lagi, mereka pun bersiap untuk lari ke Alor Star. Aku tanya maktok, kenapa tak report polis. Maktok kata polis 2 orang tak berani lawan penyamun ramai. Nak tunggu polis dari Alor Star pula lambat, maklum lah masa tuh bukan ada jalan raya bertar. Semua guna jalan bendang.

Lepas itu, ayah maktok pi pejabat pelajaran untuk beritahu yang dia tinggalkan sekolah. Untung dia tak kena buang kerja sebab depa pun tau bahaya kalau tunggu. Ayah maktok kata dia tak mau balik mengajar Tobiar lagi, dia sanggup mengajar tempat lain. Last-last dia kena posting mengajar kat Jerlun. Apa yang jadi kat kampung Sekolah kat Tobiar tuh, maktok pun tak tau.

Aku tak boleh nak bayangkan geng penyamun tuh masuk kampung menyamun. Ntah kenapa jadi cerita lawak plak, mungkin sebab nampak penyamun-penyamun macam dalam cerita P. Ramlee kot. Tapi kira dasyat juga lah zaman dulu. Aku rasa bersyukur sangat yang undang-undang dilaksanakan dengan baik dan adil zaman sekarang. Tak payah nak takut-takut dekat penyamun tapi kalau ada penyamun macam tuh zaman la nih, beast jugak. Boleh aku jadi reporter, duduk atas pokok. Lepas tuh Hai! dekat ketua penyamun...hehehe.

1 comment:

Anonymous said...

Emm... it is a very interesting story. I haven't heard about this story before. Anyway, I am from Tobiar too, it is about 19 kms from Alor Setar. I am glad to say that this "tempat hulu banat" got lots of successful people in there.

-New Zealand-