Tokwa Zain

19 Disember 2006, tokwa pulang ke rahmatullah lebih kurang jam 5 petang pada hari Selasa. Mohd. Zain Bin Abd. Hamid (tokwa) adalah abang sulong tok ayah. Setelah kematian tok ayah, hanya tokwa dan toksu sahaja yang tinggal. Hari ini satu-satunya anak Abd. Hamid bin Md. Hassan yang masih hidup ialah toksu din.

Tokwa Zain yang aku kenali adalah seorang yang gopoh, kelam-kabut dan suka merempit. Masih lagi aku ingat semasa upacara bacaan talkin waktu pengebumian tok ayah. Bacaan talkin dibahagikan kepada tiga orang dan sebagai menghormati yang tua, tokwa diminta membaca talkin bersama. Sepatutnya sebagai orang terakhir membaca talkin, tokwa hanya menyambung bacaan sebelumnya tetapi tokwa membaca dari mula semula. Semua orang resah gelisah di kubur. Bila orang tegur tokwa suruh berhenti, dia tetap sambung baca tanpa hiraukan orang lain. Itu lah tokwa yang selalu buat sesuatu dengan caranya sendiri.

Selain itu, tokwa ini terkenal dengan hobi merempit motorsikal. Bila kami nampak tokwa di jalanraya, mesti kami semua akan menggelengkan kepala melihat gelagatnya. Bayangkan seorang tua berusia 80-an lebih menyelit kiri dan kanan di anatara kereta-kereta dan kemudian memecut laju dengan hanya memakai serban di kepala. Bagi tokwa jatuh motorsikal itu perkara biasa. Tokwa juga pernah sampai di puncak Gunung Jerai dengan hanya menaiki motorsikalnya. Semua anak-anaknya marah tapi tokwa tak pernah peduli. Pernah ketika aku masih bersekolah, aku sedang menunggu teksi hendak pergi tuisyen di Alor Star dan tokwa berhenti lalu mengajak aku naik dengannya. Serba salah juga aku nak terima pelawaan itu. Maklum lah, dengan usia tokwa yang sudah tua ketika itu ditambah dengan gaya menunggang motornya membuatkan aku berfikir dua kali. Akhirnya aku menolak dengan alasan tiada ada topi keledar.

Tokwa juga terkenal dengan sifatnya yang pembersih. Tokwa jarang-jarang duduk dan minum atau makan bila bertandang ke rumah orang. Alasannya tidak yakin dengan kebersihan orang lain. Paling lama pun 15 minit, itu pun berbual-bual diluar sambil berdiri. Pernah sekali tok ayah cerita pada aku, tokwa menyewa teksi untuk menziarah saudara di Kuala Lumpur dan setelah bertanya khabar lebih kurang 10 minit, dia terus naik teksi balik ke Kedah. Itulah perkara yang aku rasa best dan seronok untuk ingat tentang tokwa.

Kalau difikirkan gelagatnya, lucu pun ada juga rasanya. Sungguhpun begitu, tokwa mengambil tahu hal saudara-maranya. Dia lah yang selalu datang menjenguk tok ayah ketika tok ayah sakit dan seterusnya datang bertanya khabar maktok selepas tokyah meninggal. Esok tokwa akan dikebumikan di sebelah kubur tok ayah pada jam 10 pagi seperti yang telah diwasiatkannya. Begitulah perginya seorang demi seorang generasi pertama Panglima Abdul Hamid dan aku adalah generasi ketiga yang semakin tidak mengenali kaum kerabat ku.

Anak-anak Abdul Hamid dan Rofiah :

Md. Zain
Yahaya
Khatijah
Siti Aminah
Md. Salleh
Che Ahmad

Urutan kematian :
Siti Aminah (tok njang)
Khatijah (tok lang)
Md. Salleh (tok ndak) - 2003
Yahaya (tok ayah) – 4/4/2006
Md. Zain (tok wa) – 19/12/2006

No comments: