Mula dan Tammat

Bangun seawal jam 5 pagi. Minou kini jam loceng bergerakku.

Secawan milo panas buat memanaskan diri. Lalu aku celupkan roti susu yang aku beli semalam ke dalam milo panas itu sebagai santapan bersahurku. Ya...aku akan berpuasa sempena Nisfu Syaaban.

'Semalam aku membaca suratul Yassin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib sempena Nisfu Syaaban setelah maktok mencadangkan. Maktok kata, mintalah 3 perkara pada setiap selesainya bacaan Yassin itu. Bacaan pertama pohonlah dipanjangkan usia hanya untuk beribadat kepada Allah, bacaan kedua untuk dimurahkan rezeki dari sumber yang halal dan bacaan terakhir untuk ditetapkan iman.

Di waktu tengah malam itu, semua amalanku di sepanjang tahun lalu telah diangkat ke langit ketujuh dalam keadaan aku nyenyak terbungkang di perbaringan. Belum mantap iman aku untuk beribadat pada keheningan malam yang sepi itu. Esok pagi aku akan memulakan amalanku dengan perkara baik yakni berpuasa. Moga disucikan hatiku dari amalan-amalan mungkar sepanjang tahun mendatang. Percaya mereka bahawa permulaan yang baik itu membawa kepada kesudahan yang terbaik.'

Permulaan yang baik bukan jaminan penamat yang gemilang andai di pertengahan jalan itu kita tersungkur oleh kealpaan.

No comments: