Ada apa tentang dia…

Kesedihan tidak pernah membiarkan kebahagian datang sendirian ke hidup manusia,
Padahal seringkali kita tak punya cukup persediaan untuk menikmatinya bersamaan,
Begitu banyak rasa sakit dan kehilangan didalam hidup aku,
Padahal hidup terlalu singkat buat semua rasa itu,
Beruntunglah manusia yg tahu apa yg mereka cari,
Dan diberi cukup waktu untuk mencari,
Kerana aku tak punya cukup waktu untuk itu,
Bahkan utk sekadar mengetahui apa yg aku cari pun …

~petikan bait-bait sajak dalam filem Tentang Dia

Ada apa tentang dia…

Mulanya tidak mahu menonton filem cinta remaja dari Indonesia ini. Namun, hati berubah bila mana memikirkan hasil karya penggiat seni Indonesia. Secara peribadi, filem Indonesia lebih seni dan unik dibanding filem Malaysia. Penceritaan yang mudah tapi penuh maksud dengan olahan yang menarik. Karya yang lebih mendekati penonton dengan permasalahan semasa yang tidak dipersembahkan secara stereotaip. Gaya cerita yang punya seni dan lenggok bahasa yang membuat kita mencintai bangsa yang punya bahasa.

Muka baru ditampilkan sebagai variasi kepada selera penonton. Paras dan rupa bukan taruhan tapi bakat yang disusuli diasuh menjadi sandaran. Penggiat seni di Indonesia lebih telus dan berani berkarya. Kerana yakin kerya seni yang baik akan tetap baik walaupun tanpa kehadiran bintang yang sudah punya nama juga populariti dalam bidang seni.

Filem mereka menceritakan tentang kehidupan. Kehidupan yang diceritakan adalah cerita mereka. Cerita mereka bukan cerita wanita yang cantik dan seksi, bukan cerita muda mudi di kelab-kelab hiburan, bukan cerita koprat muda yang berkereta mewah, bukan cerita lawak yang membodohkan diri sendiri, dan bukan cerita cinta kolej yang sudah lapuk dipertontonkan.

Cerita mereka adalah tentang manusia biasa berwajah sederhana, makan di gerai, berpakaian biasa, berjalan di lorong-lorong, melepak di bangunan yang belum siap, anak muda yang sedang memikirkan tentang kehidupan yang penuh persoalan juga pertemuan dan perpisahan penuh misteri aturan tuhan. Cerita mereka ada falsafah yang disampaikan melalui bahasa yang indah.

Keseluruhannya, cerita mereka memberi rujukan kepada penonton melayari kehidupan di dunia. Cerita mereka mengajar penonton untuk mencintai seni melalui bahasa dan falsafah. Itulah yang ada tentang dia.

No comments: